Sumpit Nuff Sampai kena!!!

30 May 2010

Cobia permata hati


MERSING: Ekspedisi ke Lubuk Permata Hati dengan niat menduga aruan tasik (cobia) bersaiz XL yang mendominasi perairan itu, akhirnya termakbul.


Team Tuna Biru mendapat khidmat Tekong Taib yang berpengalaman luas.
Kumpulan ini merangkumi penulis, Bakar, Mizun, Ijal, Zul dan Zorro bergerak menuju ke lubuk pertama perairan Pulau Hujung dan tiba seawal jam 3.30 pagi, pada 26 Mac lalu.
Perairan itu dihuni pelbagai spesies ikan seperti tambak, tetanda, rambai, kerapu dan kerisi merah berskala sekilogram dinaikkan dengan pancing apollo mata tiga berumpan hirisan sotong segar.

Selepas hasil tangkapan mula berkurangan, Lubuk Ketarap menjadi destinasi seterusnya memburu ikan yang enak dimasak stim ini.

Seterusnya, Tekong Taib mencuba nasib dengan bergerak ke unjam terletak antara Pulau Tioman dan Pulau Pemanggil. Di situ, rezeki kami tidak menjadi. Tekong Taib bergegas bergerak ke lubuk Karang Teduh Sementara berhampiran Pulau Kapas untuk memburu sotong yang bakal digunakan sebagai umpan di lubuk rahsianya itu.

Di lokasi itu, kami berpesta sakan menaikkan sotong berkala 500 gram menggunakan gewang warna merah putih yang cukup berkesan. Penulis turut menaikkan dua ekor sotong - ini menunjukkan musim sotong di perairan ini sudah bermula.
Keasyikan mencandat terhenti seketika apabila Tekong Taib memberitahu, beliau akan bergerak ke lubuk rahsia di perairan Nipah bagi memburu spesis geropoh dan aruan tasik XL.

Selepas sejam perjalanan, akhirnya Lubuk Permata Hati menerima kunjungan kami. Burn yang tidak menunggu lama, menurunkan umpan sotong segar yang baru dicandat dan terus disambar mangsa.

Burn yang bersedia membuat sentapan kemas, membengkokkan kaki untuk melawan mangsa yang dikenal pasti ikan geropoh itu. Akhirnya, ikan berskala 5 kilogram (kg) didaratkan.

Serentak itu, penulis dan Zul mendaratkan ikan cermin manakala Ijal dan Zorro menaikkan ikan kerapu.

Sebelum geng Tuna Biru melabuhkan aktiviti memancing, joran Mizun yang terletak di bahagian belakang bot menerima asakan luar biasa. Mizun bergegas mendapatkan jorannya.

Joran Shimano enam kaki milik Mizun melengkung dengan dahsyat apabila mangsa menyedari mulutnya tertancap mata kail lalu membuat larian padu ke bawah bot.

Mizun pula bergegas menghela larian mangsa supaya bergerak ke kawasan terbuka. Ini supaya ia mudah dinaikkan dan akhirnya, aruan tasik seberat 30 kg berjaya dinaikkan.

0 comments:

Post a Comment

About