Sumpit Nuff Sampai kena!!!

14 November 2009

Tiga haji uji penghuni dasar Lawit.....




KUALA BESUT: Perjalanan hampir 24 jam ke perairan Kuala Besut oleh 11 pemancing dari Geng Pancing Masai diketuai Haji Abdul Rahman Ayubah (Man Bai), nyata berbaloi apabila hampir 300 kilogram pelbagai spesies ikan termasuk bersaiz XL serta bernilai tinggi dipunggah geng berkenaan.

Anggota lain geng itu ialah Haji Jaapar Moharam, Haji Ahmad Marican, Haji Yusuf Mohd, Haji Abd Hamid Saadan, Azman Omar (Man Kedah), Mohd Fadzly Abdul Hadi, Lim Ching Chuan, Hoo Chang Yih dan Tan Ah Lik serta penulis tidak ketinggalan mempamerkan kehebatan menaikkan satu persatu penghuni perairan berkenaan.

Dengan bantuan tekong berpengalaman Abdul Ghani Ahmad @ Pak Hitam, usaha menjejaki puluhan lubuk kerapu, ikan merah, landok, ebek, jemuduk, cermin, cupak, kerapu bara dan aruan tasik menjadi mudah.


Tepat jam 9.30 pagi, Pak Hitam memandu bot menuju ke destinasi yang jaraknya kira-kira 100 batu nautika yang mengambil masa 13 jam. Kesempatan itu diambil Geng Pancing Masai untuk berehat dan tidur, memandangkan masing-masing keletihan selepas menempuh perjalanan hampir sembilan jam dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Di pertengahan perjalanan Pak Hitam menghentikan botnya dan meminta pemancing segera mengeluarkan apollo bagi mencari umpan segar. Dalam tempoh dua jam apollo, hampir dua tong dipenuhi dengan ikan kembung, selar kuning, selayang, tamban dan cencaru.

Pak Hitam memberhentikan bot di lubuk pertama, Karang Luas dan di situlah bermulanya adegan tarik menarik antara pemancing dengan penghuni perairan Kuala Besut. Melihat keadaan air yang menarik serta sedikit berarus, penulis dan Haji Yusof menggunakan peralatan yang ditaja TCE Tackles iaitu tali Ajiking Pro Game Braided, joran Ajiking Jig Cast dan X-Puyu Fire Stik serta jigger 150 gram dan 250 gram dengan sasaran ebek atau kerapu yang menyambarnya.

Bagaimanapun, hampa selepas melakukan jigging hampir satu setengah jam masih tiada sebarang aksi menarik daripada penghuni perairan Kuala Besut. Sebaliknya Man Kedah, Haji Ahmad, Man Bai dan Haji Abd Hamid berpesta apabila satu demi satu kerapu beratnya antara satu hingga empat kilogram dinaikkan ke bot.

Begitu juga dengan Ah Chuan, Choong Yih dan Ah Lik turut mempamerkan kehebatan menaikkan landok, kerapu bara dan ikan merah bersaiz sederhana. Cemburu dengan rakan-rakan menaikkan ikan, penulis dan Haji Yusof mengubah teknik pancingan dasar. Hasilnya kerapu dan jemuduk seberat dua kilogram berjaya ditewaskan.

Memandangkan misi trip adalah bagi menguji produk TCE Tackles, penulis dan Haji Yusof sekali lagi menggunakan kaedah jigging dengan peralatan yang dibekalkan. Nyata nasib belum menyebelahi kami dan tiada sebarang reaksi menarik. Gerak geri kami berdua diperhatikan Pak Hitam dan dengan sinis beliau menyindir perbuatan berkenaan.

“Mu ni (kamu ni)... ike kat sini tok sih umpe tirue (ikan di sini tak makan umpan tiruan)... ike sini make ike hidup atau segar (ikan di sini makan umpan ikan hidup dan segar). Setakat jig besi ni... mampuh kerah ike tak make (kalau gunakan jig besi pasti ikan tak makan),” katanya kepada penulis dan Haji Yusuf.

Beliau kemudian meminta kami menukar teknik pancingan dasar dan menggunakan perambut sepanjang dua depa, seperti dilakukan pemancing lain. Haji Yusuf segera mengubah teknik berkenaan, sementara penulis masih setia dengan jigging walaupun menyedari tiada sebarang reaksi daripada penghuni Lawit.

Tidak sampai setengah jam, Haji Yusof yang menggunakan tali utama Ajiking Pro Game Braided 80 paun, joran Ajiking Jig Cast, perambut tali hantu 100 paun dan mata kail saiz 3/0 Eagle Claw, dikejutkan dengan sentapan kuat yang nyaris menyaksikan joran berkenaan jatuh ke laut.

Bagaimanapun, beliau bertindak pantas menyambarnya dan berlakulah adegan tarik menarik hampir 15 minit. Dengan bantuan Pak Hitam seekor ikan merah seberat 12 kilogram berjaya didaratkan.

“Man (penulis), tali braided ini proven. Memang bagus tali ini... walaupun diameternya kecil, ia kuat. Tali hantu ni boleh tahan juga, tak sia-sia TCE Tackles taja,” katanya. Seperti kebiasaan selepas seekor ikan besar didaratkan, Haji Yusof memotong hampir satu meter tali utama bagi mengelakkan ia terputus jika terkena ikan lain.

Di lubuk Karang Luas, Geng Pancing Masai diasak kehadiran sekumpulan ikan merah berskala XL. Tiga Haji iaitu Abdul Rahman, Jaapar dan Yusof menunjukkan kehebatan masing-masing apabila menaikkan ikan merah sekitar empat hingga 10 kilogram. Paling kelakar Haji Jaapar yang berusia lewat 70-an terpaksa mengerah keringat dan kudrat menahan asakan ikan merah.

Selepas menaikkan seekor merah seberat lima kilogram, beliau terpaksa berehat keletihan dan hanya tersedar keesokannya. Begitu juga Haji Abd Rahman dan Haji Yusof masing-masing menambah koleksi ikan merah serta kerapu.

3 comments:

Hubby kakak memang suka
memancing, ok dik hepi weekend ye
nuff tak keluar lagi

setelah tutup window comment ni
baru nuff ads keluar
click Disney kat
sidebar

Post a Comment

About