Sumpit Nuff Sampai kena!!!

06 March 2012

Teknik-teknik Langsing Selepas Melahirkan



Selepas bersalin semua ibu mahukan bentuk badan yang langsing dalam tempoh yang pantas. Biasanya kebanyakan wanita mengalami kesukaran untuk mencapainya.

Mengembalikan berat badan asal selepas bersalin bukan tugas yang mudah. Tetapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil. Kesukaran para ibu menghilangkan berat badan yang meningkat semasa hamil bukan masalah luar biasa.

Ibu perlu tahu kaedah berkesan membantu kembali bertenaga, cergas dan menawan sepanjang melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu. Panduan berikut mungkin memberi makna kepada semua wanita yang baharu bersalin.

Pemulihan Selepas Bersalin
Sembilan bulan sepanjang hamil, badan anda mengalami banyak perubahan dan pastinya emosi anda sendiri umpama rollercoaster sepanjang tempoh itu.

Cabaran dan keseronokan bergelar ibu baharu turut terganggu dengan persoalan yang bermain di minda ‘bagaimana saya boleh dapatkan semula badan sebelum hamil'? Sebenarnya badan kita pulih dalam banyak aspek kehamilan secara semulajadi; rahim mengecut kepada bentuk asal dalam masa enam minggu selepas bersalin dan keanjalan ligamen badan kembali perlahan-lahan kepada bentuk asal (sekitar 3 ke 6 bulan).

Malangnya, tisu-tisu otot tidak berfungsi dengan cara yang sama. Oleh itu pentingnya kita melakukan senaman sebagai rutin harian dalam usaha untuk mengembalikan otot-otot kepada keupayaan fungsi, kekuatan dan kepanjangan normalnya.

Rajin atau malas bukan persoalan kerana ibu perlu lakukan senaman yang rutin untuk mengelakkan otot-otot daripada mengecut dan menjadi lemah.

Selain daripada itu, rawatan pelangsingan di spa turut membantu ibu mendapatkan semula badan yang langsing dan pejal. Pakej rawatan pelangsingan di spa membantu ibu untuk mengawal penghasilan selulit dan memecahkan sel lemak yang banyak semasa mengandung. Bahkan ia turut membantu para ibu mengurangkan kesan rekahan serta kembali ke bentuk badan asal lebih cepat.

Rawatan Pelangsingan Badan
Sebelum memilih rawatan pelangsingan badan di spa, anda perlu tahu apakah jenis rawatan yang sesuai untuk ibu selepas bersalin. Jangan terpedaya dengan tawaran melangsingkan badan yang mungkin tidak sesuai dan berbahaya kepada anda.

Antara rawatan yang disarankan kepada wanita yang baharu melahirkan anak termasuk :

Skrub badan
Rawatan ini memang boleh dilakukan selepas bersalin dan amat digalakkan. Ia bertujuan untuk membuka pori-pori kulit jadi sel-sel kulit mati boleh ditanggalkan.

Jakuzi
Rawatan yang memberikan getaran kepada tubuh ibu membolehkan sel-sel lemak bergetar dan hancur sedikit demi sedikit. Ia boleh membuang toksik yang ada di dalam badan supaya senang dipecahkan.

Hot Blanket/Sauna
Ia bertujuan untuk proses detoksifikasi kerana ada wanita yang menjadi gemuk semasa hamil kerana terlalu banyak air (water retention). Jadi selepas proses ini air yang berlebihan akan hilang dan seterusnya ukuran inci badan akan berkurangan.

Urutan Pelangsingan
Setiap teknik urutan pelangsingan membolehkan sel-sel lemak di dalam badan diuraikan. Urutan yang berkesan akan menyebabkan ibu berasa gatal-gatal di bahagian yang diurut. Ia perkara normal kerana menunjukkan proses pemecahan lemak sedang berlaku.

G5 Rawatan Pelangsingan
Penggunaan mesin pelangsingan tidak berbahaya kepada ibu-ibu baharu melahirkan anak. Ia melibatkan teknik getaran yang bertujuan memecahkan lemak di dalam badan lebih pantas iaitu sepantas apabila melakukan 100 kali senaman sit-up dan 100 kali push-up.

*Tetapi perlu diingat rawatan menggunakan teknik ini hanya boleh dilakukan selepas 3 bulan bagi ibu melahirkan bayi secara normal dan 6 bulan yang melahirkan secara pembedahan caesarean.

Pengambilan Minuman
Bukan sebarang minuman herba boleh diambil oleh ibu kerana bimbang minuman teh herba tertentu boleh memberi kesan kepada susu badan yang diminum bayi. Justeru, minuman yang dibenarkan berasaskan halia dan limau nipis yang membantu membuang angin di dalam badan.

Namun, sebelum memilih mengikut program pelangsingan badan di spa, ada beberapa perkara mesti diambil kira :
Bagi para ibu yang masih menyusukan bayi secara eksklusif, pastikan bahawa produk pelangsingan yang digunakan adalah bebas daripada bahan kimia, pewarna tiruan dan bahan awet yang berbahaya dan memudaratkan.

Ibu yang bersalin secara normal, boleh memulakan program-program pelangsingan seawal 3 bulan selepas bersalin.

Ibu yang melahirkan anak secara pembedahan caesarean, hanya boleh memulakan program-program pelangsingan selepas 6 bulan kelahiran. Bagi para ibu yang masih menyusukan bayi, elakkan daripada mengambil ubat-ubatan pelangsingan yang berkaitan dengan proses detoksifikasi kerana ia akan menyebabkan bayi anda mengalami cirit-birit sehingga boleh menyebabkan dehidrasi.

Senaman Juga Penting
Senaman turut membantu anda mendapatkan kembali bentuk badan menarik namun mengambil jangka masa yang lama untuk melihat kesannya.

Beri masa kepada diri sendiri untuk mencapai berat badan ideal dalam tempoh enam hingga 12 bulan mengikut program senaman yang konsisten.

Senaman membantu proses penyembuhan dan pemulihan yang pantas selepas melahirkan bayi, peningkatan metabolisme dan pantas kembali ke bentuk badan sebelum hamil dan tahap kecergasan.

Ia turut mengurangkan tahap tekanan dan kemungkinan besar pembentukan tekanan selepas bersalin. Ibu juga lebih bertenaga untuk menjalankan peranan sebagai ibu.

Justeru, untuk berjaya mencapai bentuk dan berat badan sasaran, ibu perlu konsisten melakukan senaman tetapi ingat jangan paksa diri. Paling penting anda seronok melakukannya.

Antara senaman sesuai untuk selepas bersalin adalah :-
♦ Berenang dan Aqua aerobics
♦ Brisk walking
♦ Berbasikal
♦ Aerobik berkadar rendah

0 comments:

Post a Comment

About